Apa Kata Za’ba tentang Bahasa Melayu?
Petikan daripada "Bahasa Melayu: Kelebihannya dan Kekurangannya" Edisi ke-2 oleh Za‘bā
Terbitan: Akademi Jawi Malaysia – Klasika Media
11 Januari 2019
1. Bahasa Melayu dan Bahasa Jāwī
Macam manapun bahasa Melayu itulah yang dipilih mereka jadi wāsiṭah bagi menghidangkan dan mengembangkan kepada qawm mereka ‘orang Jāwī’ di ‘ālam Melayu ini akan segala ‘ilmu agama Islām yang mereka peroleh di dalam bahasa ‘Arab: Dan bahasa Melayu itulah yang disebut oleh mereka ‘bahasa Jāwī’.
2. Bahasa Melayu menjadi pilihan
Satu sebab yang telah menjadikan bahasa Melayu terpilih dan terpakai jadi bahasa perantaraan di ‘ālam Melayu, demikian ini haruslah ṣifat mudah dan senangnya mempelajari tingkatnya yang permulaan bagi sesiapa orang baharu datang atau sesiapa jua yang bahasa Melayu itu bahasa dagang kepadanya.
3. Sikap orang Melayu apabila bercakap Melayu dengan bangsa lain
Bahkan pada biasanya orang Melayu sendiri pun apabila bercakap Melayu dengan orang-orang bangsa lain itu sengaja mereka padankan sosok cakapnya dan bunyi sebutannya seperti cakap Melayu orang-orang itu pula supaya mereka mengerti. Jadi disangka oleh orang-orang itu percakapan Melayu dirinya itu memang sudah betullah. Pada ḥāl yang sebenarnya hanyalah ia itu bahasa Melayu kacukannya yang disebut ‘bahasa pasar’ itu sahaja.
4. Harapan beliau akan bahasa Melayu
Orang-orang yang kasih akan bahasa Melayu tidaklah patut merasa runsing melihat perubahan yang dibawa oleh himpitan pengaruh bahasa-bahasa dagang di atas bahasa Melayu hingga mengkacukkan rupa karangan sekarang ini. Sekalian itu hanyalah jalan bagi menjagakan semangat bahasa Melayu yang sedia dan memberi sumbangan bagi yang baharu kepadanya. Ia akan menghadamkan segala ‘anāsir-‘anāsir baharu itu mana yang layak bagi kesuburan dirinya. Dan akan membiarkan segala yang tiada layaknya tertinggal ditempatnya itu juga sebagai barang tiada laku.
5. Masa hadapan bahasa Melayu
Adapun sebabnya yang terlebih dalam dan terbesar ialah keadaannya yang sentiasa tahan dan teguh nyawanya, boleh hidup dengan segar segak dan tegap walau apa pun perubahan yang mendatang: kaedahnya sentiasa boleh bertolak-ansur dan berlebih kurang dan sediakala ‘memberi’ seperti getah, boleh ditarik panjang bila-bila wājib, kemudian boleh kembali pendek seperti aṣalnya semula; keadaannya sentiasa boleh menerima dan menelan apa-apa benda baharu yang terpaksa diterima, dipadankannya benda itu kepada dirinya mengikut ṭabī‘atnya sendiri dan akhirnya dijadikannya miliknya dengan tiada merosakkan kepada dirinya.
Tuan-tuan yang berminat bagi mendapatkan naskhah ini. silalah hubungi Muhammad Teja melalui FB
(Abdullah Hassan bersama Muhammad Teja 16 Oktober 2020 )
Comments
Post a Comment