WAYANG KULIT DI KEDAH


 WAYANG KULIT DI KEDAH

Kumpulan wayang kulit Seri Asun telah ditubuhkan pada tahun 1966. Pengasasnya ialah Encik Mohd Noh Bin Haji Mahmud. Beliau bukan sahaja bertindak sebagai pemimpin tetapi juga sebagai dalang kepada kumpulan tersebut. Pada peringkat awalnya, kumpulan ini mempunyai 12 orang ahli termasuk Encik Mohd. Noh sendiri dan dua orang anaknya iaitu Encik Abdul Majid Bin Mohd Noh dan Encik Mihad Bin Mohd Noh.
Nama kumpulan Seri Asun ini adalah diilhamkan oleh Allahyarham Encik Johari Bin Salleh iaitu bapa kepada yang Berhormat Dato' Zainal Abidin Johari, Exco Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Sik pada ketika itu.
Nama Wayang Kulit Seri Asun diambil sempena nama sebuah pekan iaitu Asun yang terletak berdekatan dengan Kampung Kunluang.
Kumpulan Wayang Kulit Seri Asun ini kadang-kadang disebut juga Wayang Kulit Gedek. Menurut pengasasnya Pak Noh, "Gedek" itu ialah sejenis wayang kulit yang diberikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan sewaktu berlangsungnya Bengkel Wayang Kulit di Port Dickson pada tahun 1979.
Apa yang difahamkan dengan perkataan "gedek" ialah pergerakan patung-patung wayang kulit itu sendiri yang terlompat-lompat atau tergedik-gedik mengikut bahasa Melayu Kedah apabila ianya digerakkan atau dimainkan di kelir atau layar.
Perbezaan di antara wayang kulit gedek dengan wayang kulit di Kelantan atau wayang kulit Jawa adalah dari segi bahasa yang digunakan, bentuk-bentuk patung, nama-nama patung dan juga bentuk cerita yang disampaikan. Dari segi bahasa, wayang kulit gedek menggunakan bahasa Melayu Kedah longhat Siam.



Bentuk patung wayang kulit gedek di Kedah telah dimodenkan dan disesuaikan dengan suasana tempat dan masyarakat. Namun begitu nama-nama patung terutamanya patung lawak bagi Wayang Kulit Gedek Seri Asun dikekalkan dengan nama Siam.
Setelah Pak Noh meninggal dunia, tempat beliau telah diambil alih oleh anaknya iaitu Encik Abdul Majid Bin Mohd. Noh atau lebih dikenali sebagai Pak Majid.
Ayat berikut dibaca ketika mahu membuka pentas:
Om na bo tak sak
Pak kawak to rahak
Om Na bo sang kacat opai
Om Sitti krew suahong
Dalam Bahasa Melayu, ayat ini bermaksud:
Ya Tuhanku
Selamatkan permainan ini,
Jangan ada ganguan,
Jangan ada halangan
Dengan berkat Guru Agung/Tuhan
Mengikut Pak Majid, pentas yang dibina mengadap arah matahari naik oleh pihak penganjur perlu diterima dan penerimaan itu ditandai dengan perbuatan menepuk tiga kali tiang seri pentas itu dan dibacakan ayat Siam yang berbunyi: “lekle” - 3 kali, (ingati selalu dan berpanjangan – dituju kepada penonton). Kemudian dilakukan upacara naik pentas bagi
memastikan pentas itu selamat digunakan dengan membaca ayat Siam yang berbunyi “kusiang rong” – 3 kali (aku naikkan cahaya atau seri pentas). Kemudian barulah dinaikkan peralatan muzik dan alat-alat yang lain. Tok Dalang akan membaca ayat siam untuk mempersiapkan dirinya bagi memulakan permainan. Setiap bahagain tubuh Tok Dalang yang akan digunakan akan dibacakan ayat yang tertentu. Misalnya, bagi kaki dibacakan ayat seperti berikut:
Kut kut cet sip pak lak
Kut kut cet sipt pak prai
Kut cikam rop nang
Mai peng chang rai tuaku
Om Sitti krew swahong.
Di dalam Bahasa Melayu maksudnya seperti berikut:
70 kali pacak untuk menjadi kuat
70 kali korek untuk menjadi kuat
Minta tabek untuk melangkah
Dengan berkat Guru Agung/Tuhan
Bagi menjaga badan pula ayatnya seperti berikut yang dibaca sebanyak tiga kali:
Loje ok ngam (Muncul dengan cantik dan gagah)

Sumber dari Biro Sejarah dan Warisan

Comments