SASTERA BUKAN UNTUK DIFAHAM

SASTERA BUKAN UNTUK DIFAHAM

SASTERA, baca penulis dan sasterawan, tidak pernah mendapat persetujuan masyarakat, malah dibiarkan bebas menulis apa sahaja yang diideakan berkaitan pelbagai peristiwa atau isu yang berlaku di persekitarannya.
Walaupun sastera pernah menjadi induk ilmu perundangan, Ilmu Alam, Ilmu Hisab,Ilmu sains yang membawa penemuan pelbagai teknologi, tetapi ia tidak pernah berkembang, malahan kelihatan lemah jika menulis hal-hal berkaitan, terutama huraian baharu ilmu.
Dan kerana tanpa persetujuan itu juga, maka ia terkecuali malah tidak diindahkan undang-undang, malah hakim mahkamah menolak sebarang bukti yang dihasilkan oleh sastera sekalipun ia menulis pelbagai kejadian jenayah kerana penulis menyelesaikan kekusutan berkaitan dan berikan bukti untuk menentukan pelaku (watak dan perwatakan) dalam cerita itu, bersalah atau tidak.
Kecuali menciplak atau penulis yang menyamun hasil karya orang lain lalu membubuh namanya sendiri, itu baru ada kes. Maka itu, mengapa sastera bukanlah sebahagian daripada kemasyarakatan, walaupun perlakuan sosio-budaya adalah adaptasi kehidupan sebenar, tetapi ia tetap tidak ada kaitan kepada yang hidup atau yang mati.
Saya ulangi, semua cerita yang disiarkan (atau dibukukan) tidak ada kena mengena kepada yang hidup atau mati. Pernahkah saudara baca pernyataan ini?
Dengan pernyataan itu, sastera (juga sebarang bentuk seni, seni lakon, seni nyanyi, seni melukis) dibebaskan daripada sebarang kesalahan tingkah laku yang mungkin dianggap menyalahi etika sosial, kerana ia adalah benda mati yang disenyawakan oleh seni dan kesenian itu hanya dapat dicipta oleh manusia yang memiliki deria seni (menulis), yang boleh esksploitasi kejadian persekitarannya seolah-olah pernah berlaku dan terasa berlaku kerana penulis pandai manipulasi bahasa (atau nyanyina, dan berus lukisan) untuk mengambarkan seolah-olah ia pernah dan berlaku pula.
Dan kerana manusia semua memiliki deria seni, maka setiap yang mereka baca menimbulkan kesan suka, marah, benci, simpati dan lucu. Ini kerana manusia selalu perlukan sesuatu yang dapat merangsang akal fikirannya untuk mencari sebab dan akibat sesuatu peristiwa. Maka sastera berikan jawapan itu dalam bentuk mudah.
Oleh kerana sastera ialah tidak ada kaitan kepada yang hidup atau mati, maka sastera bebas ditulis, sama ada untuk difahami atau tidak, sekalipun ia dianggap ilmu yang boleh membentuk sahsiah khalayaknya. Dapat membezakan yang baik dan tidak baik sebab seni dalam sastera itu selalunya cenderung untuk berbuat kejahatan dan akal penulis itulah yang mengimbangi agar ia tidak kelihatan penulis yang semborono, porno dan rosak.
Namun, seperti bidang lain sastera mempunyai tanggungjawab sosial tersendiri. Ia perlu kelihatan alat untuk mengilmukan manusia dan untuk memperolehi sasaran itu puisi, cerpen atau novel bukan sahaja perlu mengikut kehendak kemahuan masyarakat untuk memahami sastera, tetapi kita diminta untuk mendekatkan sastera kepada mereka agar mereka mampu membeli dan membaca buku.
Sastera ada dua; satu ditulis untuk difahami, satu lagi ditulis untuk penulis itu (dan rakan seangkatannya) memahami (apa yang disampaikan, contoh sajak abstrak). Tetapi, semua bahan itu dibaca untuk dinilai kefahaman.
Daripada dua perkara, ia dibahagi pula kepada dua perkara satu untuk terus difahami, satu lagi untuk ditelitikan baharulah faham, dan kedua-duanya itu ada yang tersirat dan tersurat.
Cara membaca itu pula ada dua, satu cara khalayak membaca - ini dibaca kerana keseronokan atau ambil tahu; yang satu lagi dibaca oleh penulis kerana mahu belajar teknik dan penguasaan bahasa untuk hasilkan karangan yang baharu pula, yang lebih bagus.
Berdasarkan pengamatan saya ini, maka sastera secara eksklusifnya adalah milik penulis, bukan masyarakat. Jika tujuannya untuk masyarakat, sudah pasti ramai penulis dikenali sebagai makhluk yang mendidik masyarakat agar membeli dan membaca buku agar hayat sastera dalam lingkungan masyarakat terus subur. Mereka ke sekolah-sekolah memupuk minat terhadap sastera, belajar menulsi puisi dan cerpen, sekali pun tidak berjaya, tetapi mampu bentuk minat orang untuk beli dan baca buku (sastera).
Ia adalah tanggungjawab sosial yang jarang difikirkan oleh pengarang seni kreatif dan sebab itu apabila timbul masalah karya yang tidak difahami, maka masyarakat mungkin menolaknya kerana mereka bukan sahaja memahami hak eksklusif penulis, tetapi beranggapan sastera itu tidak pernah jejak realiti hidup sebenar.
Jadi, kerana demikian sastera tidak mampu mengimbangi peredaran masa. Seperti Pantun, Syair, Gurindam dan semua yang pernah menjadi kenikmatan hidup masyarakat dahulu tidak mampu dipertahankan, begitulah sastera moden.
Sastera sebenarnya bukan hanya seputar mencipta sesuatu yang dapat difahami atau tidak difahami, tetapi bagaimana ia mampu bertahan sebagai wadah bacaan masyarakat dan ini yang gagal dipertahankan oleh penulis, malah sasterawan sekalip pun.
Seperti bidang lain, sastera juga perlukan orang yang bukan sahaja memiliki kuasa beli, tetapi minat, namun sastera dan kesusasteraan gagal memanfaatkan hal ini dahulu dan sekarang kita hanya berharap agar sastera terus wujud walaupun hanya tinggal kita-kita sahaja.
Disebalik itu, saya agak bersetuju dengan Ajis Samjis, yang memetik Azman berkata, "Kepada saya, menulis karya-karya sastera adalah medium untuk menyampaikan sesuatu. Idea, sudut pandangan, pengalaman dan sebagainya. Tetapi bagaimana idea itu akan sampai kepada pembaca jika apa yang ditulis itu sukar difahami, malah ada yang tidak dapat difahami langsung. Sastera seolah-olah telah mempersulit lagi pemahaman. Kerana masyarakat pembaca tidak menulis, maka pandangan mereka terhadap sastera tidak diketahui."
Saya yakin pernyataan itu semata Azman mahukan sastera lebih tersebar luas kepada lapisan masyarakat tanpa kongkongan hak eksklusif penulis yang mahu eksprimen dengan seninya. Namun, kepada saya, kita boleh imbangi keadaan itu menerusi dua gaya penyampaian, satu ditulis untuk orang faham, satu lagi ditulis untuk penulisnya sahaja faham.
Bagaimanapun, sama ada gaya penyampaian yang mudah difahami atau tidak, sastera ialah - tidak ada kaitan orang yang hidup atau mati. Ia adalah nomad, mungkin ada tempat persinggahan (kecuali di media massa, buku) ada yang tidak ada kerana sastera terlalu tinggi hipokrit dan egonya untuk saling melindungi rakan dan teman seperjuangnnya. Malah kadang-kadang lebih buas menjatuhkan rakan yang dianggap menutup peluangnya untuk popular atau mendapat anugerah.
Sastera ialah kepura-puraan untuk menjadi baik atau menutup kesalahan agar dia sahaja nampak baik dan bagus.
Dengan itu, apabila sastera mengalami kematian, maka ia jarang diberi penghargaan oleh masyarakat, malah oleh kelompok sastera itu sendiri kerana sastera dan kesusasteraan menjaga kebajikan sesama kesatuan pun payah, maka itu mengapa ia tidak ada kaitan dengan orang yang hidup atau pun mati.
Dia (penulis) hidup sendiri dan sesekali mendapat pujian dan anugerah, sebelum mati, bukunya (hasil karyanya) mati dahulu.
( Sumber dari  Yatim Ahmad / Jom Sastera / foto Oleh Yatim Ahmad )

Comments