MEMBACA DAN MENILAI SASTERA


MEMBACA DAN MENILAI SASTERA

DENGAN hanya hujung hari klik
http://eseminar.dbp.gov.my/ds72020/mobile/index.html#p=1 yang dipautkan oleh Editor Dewan Sastera Zaharahanum Kamarudin di halaman JS, maka majalah tunggal sastera yang mengungguli kesusasteraan negara dapat dibaca secara mudah tanpa membeli atau tercari-cari kerana ketiadaan di pasaran tertentu.

Ini bererti penulis, khusus pemula, bukan sahaja dapat menelusuri pelbagai peristiwa serta ragam kepengarangan sastera di rencana atau kolum, lebih penting dapat pengalaman dari penghayatan kritikan puisi dan cerpen di muka surat 54 dan 60 (Bil 7). Biasanya puisi dan cerpen yang dikritik disiarkan pada keluaran terdahulu (di sini) Bil 6.

Dewan Sastera (DS) mula diberikan percuma beberapa bulan lalu, sebelum dimuat turun atas talian, pernah berulang kali saya sarankan kepada rakan penulis pemula membeli (secara berurutan bulan keluaran), sama ada keluaran tahun yang sudah-sudah atau terbaharu semata membaca dan meneliti kritikan karya. Namun saya fahami juga kendala mendapatkan DS itu di pasaran.

Membaca dan meneliti kritikan bukan sahaja dapat membina kefahaman memahami puisi (pada pandangan pengkritik berdasarkan tema, muatan dan kias), tetapi dapat menjinakkan minda penulis membina ayat. Dengan itu lama kelamaan, penulis mampu membina pelbagai ayat sendiri berdasarkan ragam penyampaian dan kaedah yang dibacanya.

Lebih penting, ia 'mendidik' penulis menyusun puisi atau cerpen tanpa menggunakan ayat panjang semata-mata mahu menjelaskan sesuatu yang mudah. Puisi malah cerpen tidak memerlukan kosa kata atau perkataan yang tinggi-tinggi untuk kelihatan ia bermutu atau berkualiti.

Juga tidak perlu mengkias dengan pelbagai kepelikan semata-mata menimbulkan kekaguman kepada kita sebagai pengarang, sebaliknya menggunakan kata-kata biasa lebih mampu menarik perhatian khalayak. Ini kerana kadang-kadang penulis sendiri tidak faham makna kias yang dipakainya, selain daripada ikut-ikutan.

Pertama, untuk mencapai tahap kefahaman begini kenalah bersabar. Kita akui ramai penulis kurang membaca kerana anggap membaca hanya membebankan mereka. Kebanyakan tidak sabar hasilkan karya baharu, walaupun pengisian karyanya tidak berubah, yang sama sahaja, kecuali mengubah tema, nama tempat, nama watak atau kesusahan yang dihadapi oleh 'si aku' lirik.

Apabila kita dapat membiasakan tabiat membaca, akhirnya disiplin itu akan bantu hasilkan sesuatu yang menarik, padat, ringkas, tetap dan jitu. Perlu difahami, keringkasan dan kepadatan sebenarnya tidak mengurangkan kualiti seni kerana percakapan (puisi/cerpen/novel) adalah bersifat kreatif. Apapun jenis karya ia tetaplah mengambil kira keseronokan membaca. Di sebalik, jika kita tidak mahir mengawal pengucapan - berjela-jela, kadang kelihatan mengada-mengada, boleh menyebabkan pembaca jemu.

Pembaca sebenarnya dapat (cepat) mengesan pembinaan ayat yang berlebih-lebihan, sama ada kerana penulis kurang mahir memilih ayat yang sesuai atau kerana cuba melengah-lengahkan kalimaks ceritanya. Pembaca sebenarnya ialah tempat dimana karya itu 'diadili' dan walaupun mereka tidak mahir menulis, tetapi kesan dan sensitiviti penghayatan mereka terhadap penceritaan adalah jauh lebih tinggi berbanding pengarang itu sendiri.

Sebab itu saudara tentu berasa hairan mengapa khalayak berkata karya tertentu membosankan, padahal pengarangnya sudah bermati-matian menyusun (sunting) ceritanya berhari-hari (atau sekelip mata lalu perasan mengatakan sudah bagus).

Malah kebanyakan penulis sendiri merungut mengapa pengkritik atau kolumnis akhbar atau majalah suka benar 'menunjuk-nujuk' dirinya menerusi gambaran berjela-jela sesuatu isu semata mahu menekankan bahawa mereka maha tahu. ia seolah-olah mengambarkan pengkritik atau kolumnis itu mahu mencanangkan bahawa mereka sudah tidak boleh diatasi oleh sesiapa. Untuk menguatkan alasan ini, mereka (kolumnis atau pengkritik) begitu mudah merendah-rendahkan karya penulis lain.

Begitulah. Sesudahnya berakhirlah pencarian dan penantian penulis mendapatkan bahan penting iaitu DS untuk dibaca dan dirujuk melalui bacaan hujung jari. Peluang begini tidak pernah ada di era moden dan alaf baharu, malah dalam tempoh 20 tahun pertama permulaan Abad ke -21 iaitu pada 2001. Dahulu, ramai yang kesal kerana tidak dapat membeli DS dan menganggap satu kerugian untuk membina kemantapan kreatif.

Sehubungan itu di harap semua rakan penulis, khusus pemula agar membaca DS. Jikalau tidak juga dapat membeli naskhah, carilah pautan atas talian di halaman DS, rasanya ia bermula tahun ini. Jikalau dapat naskhah cetakan DS lebih baik kerana ia boleh disimpan di kepustakaan peribadi untuk rujukan. Saya bukan beri publisiti semudah ini, melainkan berharap rakan penulis khusus pemula tidak berharap idea hadir semata. Kebanyakan gejala ketidaan idea ini disebabkan pemikiran kita tidak terlatih berfikir kerana kurang membaca.

Apabila kurang baca, maka penulis pun boleh tidak tahu di mana letak tanda baca. Ini menghairankan saya.

Satu lagi, konsep DS yang agak terbuka sekarang untuk menerima karya penulis, maka ambil peluang buat hantaran ke editor. Walaupun penyiaran karya di DS sekarang tidak lagi diangap penulis hebat berbanding sebelum ini (berdasarkan kesukaran menembusi had tertentu) namun sebagai penulis perlu juga namanya tercatat sebagai pengkarya DS.

Sastera DS di manapun letaknya, ia tetap keunggulan sastera Malaysia yang semakin mencabar dalam kepinggiran.


# Yatim Ahmad ke Jom Sastera
*foto DS daripada Zaharahanum Kamarudin

Comments