KARYA P.RAMLEE MILIK SIAPA?

KARYA P.RAMLEE MILIK SIAPA?

Karya P.Ramlee milik siapa itulah persoalan yang sering dilontarkan oleh segelintir masyarakat. Ada juga yang mempertikaikan kononnya pihak majikan (Shaw Brothers) berlaku kejam dan tidak adil kepada waris-waris P.Ramlee setelah mengaut keuntungan dari hasil karya-karya Allahyarham.
Apa yang menarik perhatian saya adalah rata-rata nitizen yang membuat komen di media sosial sangat mengambil berat dengan hak milik (copy right) dan royalti filem karya Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan mengatakan ke mana perginya royalti filem dan lagu karya P.Ramlee itu disalurkan. Adakah waris-warisnya telah menerima royalti tersebut dari pihak Shaw Brothers?
Sebenarnya P.Ramlee melalui warisnya tidak ada apa-apa keperluan untuk menuntut sebarang royalti dari pihak Shaw Brothers melalui filem-filem arahan atau lakonannya. Hal sedemikian kerana P.Ramlee telah dibayar oleh pihak Shaw Brothers sebagai majikannya pada ketika itu. Peruntukan kepada P.Ramlee bermula dengan filem Bujang Lapok (1957) adalah sebanyak 30 ribu untuk setiap satu filem yang diarah atau dilakonkan. 30 ribu ringgit ini merangkumi kerja-kerja lakonan, pengarahan, penulisan skrip, menulis dan menggubah lagu untuk filem berkenaan dan termasuk gaji P.Ramlee. Kontrak ini telah termetrai dan dipersetujui oleh P.Ramlee dengan pihak majikannya sebelum bermula penggambaran filem Bujang Lapok. Jadi tidak timbul isu royalti yang perlu dibayar oleh pihak Shaw Brothers kepada waris-waris P.Ramlee kerana P.Ramlee sudah dibayar ketika itu.
Filem atau drama adalah hak milik studio atau penerbit. Itulah hakikatnya sehingga sekarang. Jika kita lihat di Hollywood misalnya, dalam Academy Awards, ketegori Best Pictures diberikan kepada Producer bukan kepada Pengarah dan juga bukan kepada Penulis Skrip.
Untuk lagu yang dicipta oleh P.Ramlee yang direkodkan ke piring hitam melalui syarikat EMI, ianya memang mempunyai royalti. Saya difahamkan oleh salah seorang dari waris P.Ramlee bahawa royalti itu telah dibahagikan kepada 8 orang anak-anak Allahyarham Nasir P.Ramlee termasuk Sazali setelah Nasir P.Ramlee meninggal dunia pada tahun 2008. Sebelum itu penerima dan pembahagian royalti lagu P.Ramlee adalah tanggungjawab Nasir. Jika dihitung pembayaran royalti P.Ramlee kepada waris ini bermula selepas kematiannya pada tahun 1973 bermakna ianya bakal tamat dalam tiga tahun lagi iaitu pada tahun 2023 selepas 50 tahun pemergian Allahyarham.




Teks : HAR
Sumber :
Sesi temubual bersama Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Abdullah Hussain, Universiti Malaya, 2001
Sesi temubual bersama Allahyarham Aimi Jarr, Galeri Perfileman Finas, 2007

Comments